Pengumuman

Thursday, March 20, 2008

Khas: Strategi PAS Untuk Menawan Hati Rakyat (Bhg. 2)

Oleh: Hang Jawa

Dakwah, penerangan dan kebajikan merupakan faktor terpenting dalam memenangi hati rakyat Melayu Islam dan ianya merupakan kerja yang berterusan, bukan semasa. Sebagaimana contoh yang dibawa oleh Rasulullah SAW semasa berhadapan dengan kaum kafir yang ganas dahulu, Rasulullah SAW melaksanakan tiga agenda itu bersama baginda sehingga mereka semua dapat ditundukkan. Apabila mereka beriman dengan apa yang dibawa oleh Nabi, maka pengaruh harta-benda dan kemewahan dunia tidak sekali-kali menggugat kepercayaan dan sokongan mereka kepada Islam.

Apabila diteliti keputusan pilihanraya ker-12 yang lepas, ternyata PAS masih kurang dan gagal melaksanakan ketiga-tiga agenda di atas. Kebanyakan petugas, hanya menunggu semboyan 'peperangan' berbunyi barulah sibuk sebagaimana musuh politiknya juga berjuang untuk meraih undi dan kepercayaan rakyat. Itulah sebabnya Terengganu masih gagal ditakluki meskipun isu semasa dan kezaliman pemimpin kerajaan UMNO yang begitu ketara, sepatutnya memberikan kelebihan kepada PAS.

Walaupun kemenangan berjaya diraih di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, kita perlu ingat bahawa ianya adalah kemenangan berdasarkan isu. Ia mungkin tidak selalu menyebelahi kita. Sedangkan kemenangan yang mutlak yang kita inginkan ialah kemenangan berdasarkan akidah perjuangan yang seterusnya akan melahirkan pendokong yang iltizam dan istiqamah. Ia mempunyai sedikit perbezaan dengan kemenangan di Kelantan di mana isu hanyalah menguatkan lagi kepercayaan rakyat kepada kepimpinan PAS sedangkan kemantapan akidah perjuangan telah subur di dalam dada-dada majoriti rakyatnya. Sekiranya pilihanraya di adakan dengan bersih dan adil, Insya Allah PAS-PKR akan terus memerintah bumi Kelantan 'sehingga kiamat'.

Meskipun Kelantan merupakan negeri yang miskin, tidak ada projek yang besar-besar yang dapat ditunjukkan kepada rakyat. Kelantan tidak mempunyai duit yang banyak untuk ditaburkan kepada rakyat. Tetapi mengapa Kelantan bukan sahaja dapat bertahan malah dapat menambahkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan PAS. Sekiranya kita fokus kepada 3 perkara asas di atas untuk digerakkan, Insya Allah bukan sahaja Terengganu, seluruh Malaysia dapat kita tawan.

Kita tidak bimbang dengan sokongan masyarakat Cina dan India kerana selagi mana kebajikan mereka dijaga, mereka tidak akan lari. Masalahnya ialah di kalangan Melayu Islam yang mudah terpengaruh dengan sentimen dan emosi inilah yang perlukan perhatian dan penekanan kepada akidah perjuangan agar mereka akan teguh menyokong dan mendokong perjuangan kebenaran.

Mari kita lihat dengan lebih lanjut 3 aspek tersebut bagaimana ia boleh dilaksanakan dan membawa kesan yang mendalam.

(bersambung bhg. 3)

No comments: