Pengumuman

Monday, March 17, 2008

Pembohongan Idris satu rekod untuk Terengganu

Ditulis oleh Mat Zain Mat Isa
Thursday, 29 November 2007
The image “http://buletinonline.net/v2/images/berita/ego.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Andaikata ada satu anugerah bagi mengiktiraf mana-mana pemimpin politik dalam negara ini yang paling banyak bercakap bohong sepanjang kariernya, maka dalam kategori pemimpin yang sedang berkuasa sekarang ini, salah satu nama yang dirasakan layak menjadi finalis ialah Dato' Seri Idris Jusoh.

Kalau pun tidak dapat menjuarai anugerah tersebut, Menteri Besar Terengganu itu diyakini akan menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua. Maaf cakap, beliau dikesan telah mula berbohong semenjak hari pertama memegang jawatannya lagi. Hingga kini belum ada sebarang tanda beliau akan berhenti berbuat demikian.

Buktinya, sewaktu berucap membentangkan Belanjawan Negeri Terengganu 2008 di Dewan Undangan Negeri kelmarin (25 November), Idris mengulangi lagi tabiatnya itu. Perhatikan kata-kata beliau ini:

Pertama, "Saya adalah Menteri besar untuk semua rakyat. Sebagai pemimpin, setiap detik dan saat harus kita sumbangkan untuk kesejahteraan rakyat. Setiap degup jantung harus kita dedikasikan untuk kemakmuran rakyat. Setiap denyut nadi adalah lambang kasih dan sayang kita kepada rakyat. Setiap derap langkah harus kita tumpu ke arah pembangunan rakyat...."

Untuk maksud sama, beliau mengulanginya, "Kita adalah kerajaan untuk semua rakyat, biar pun ada di kalangan mereka yang mungkin tidak menyokong kita. Tidak semua rakyat mengundi kita, tetapi mereka juga rakyat negeri ini. Justeru nasib mereka juga perlu dibela...."

Panjang lagi putaran lidahnya. Tapi cukuplah dipetik setakat itu. Takut nanti ada yang termuntah pulak! Sebab cakapnya itu terlalu meloyakan, terlalu jauh dari realiti. Tindakan Idris dan kerajaannya menafikan sewenang-wenangnya hak sebahagian rakyat, terutama dari kalangan penyokong pembangkang, membuktikan beliau tidak bertindak sebagai MB untuk semua rakyat.

Renungkan saja kes-kes perampasan tanah, perobohan rumah rakyat, penafian pinjaman pelajaran untuk pelajar cemerlang STAM (Abdullah Haris Zakaria Dagang), penamatan dermasiswa untuk pelajar di Syria dan Yaman, dan berbagai lagi. Mereka itu dilayan seolah-olah mereka bukan rakyat Terengganu. Mereka menjadi saksi atas hal itu.

Kedua, "Sebagaimana yang pernah saya nyatakan dahulu, saya berjanji untuk berusaha memastikan tiada satu pun keluarga yang tidur di rumah yang atapnya bocor, tiada satupun kanak-kanak yang terpaksa berhenti sekolah akibat desakan hidup."

Ini satu lagi pembohongan. Sebabnya, cerita kemelaratan hidup rakyat Terengganu sering didedahkan akhbar-akhbar harian edisi Timur saban minggu. Contohnya, Harian Metro, Isnin, 19 November menyiarkan seorang pakcik tua menduduki rumah yang lantainya reput, atapnya bocor. Gambar pakcik itu sedang memegang lantai reput itu juga disiarkan. Tukang urut di Kampung Batu Enam itu terpaksa menghuni rumah usang bersama dua cucunya.

Pernah juga disiarkan cerita sekeluarga di Kampung Paya Keladi (tengah bandar Kuala Terengganu) hidup terhimpit di rumah usang. Dua beranak lain di Kampung Sungai Lerek, Setiu pula tinggal di bangsal usang tanpa bekalan elektrik mahu pun air paip.

Itu antara contoh cerita rumah yang bocor atap, reput lantai, robek dinding. Ada pun kisah kanak-kanak yang terpaksa berhenti sekolah akibat kemiskinan juga sering disiarkan akhbar. Kisah tiga daripada lapan beradik yatim-piatu di Kampung Jenagor, Hulu Terengganu yang menghadapi masalah itu pernah disiarkan pada Februari 2006.

Kisah tujuh anak seorang penjual ikan di Cendering, Kuala Terengganu yang terpaksa membuat giliran ke sekolah juga merentap perasaan rakyat Terengganu. Ibu bapa mereka tidak mampu menampung perbelanjaan harian sekiranya kesemua mereka ke sekolah serentak.

Kes-kes sebegitu banyak dilaporkan berlaku di kesemua daerah. Ia kini masih berlaku, meskipun telah hampir empat tahun Idris menjadi MB. Jadi, mengapa Idris perlu terus berbohong mengenai tahap hidup rakyatnya?

Barangkali dia tidak perasan yang dia sedang berbohong. Barangkali juga kerana dia sudah terlalu biasa bercakap sebegitu. Sebabnya, ucapan belanjawan di DUN Terengganu itu dibuatnya hanya lebih seminggu selepas Idris menuturkan satu pembohongan besar. Ingat lagi apa kata Idris mengenai kejayaan negerinya dalam UPSR sehari sebelum keputusan itu diumumkan?

Idris yang mendakwa dimaklumkan pihak-pihak yang boleh dipercayainya memberitahu akhbar bahawa Terengganu sekali lagi menjadi negeri terbaik di seluruh negara dalam keputusan UPSR tahun ini. Okay, itu boleh diterima. Sebab pengumuman yang dibuat keesokan harinya oleh Kementerian Pelajaran mengesahkan hal itu.

Tetapi dalam kenyataan sama, Idris turut menyebut bahawa Terengganu telah mengekalkan kejayaan sebagai negeri terbaik UPSR selama tujuh tahun berturut-turut. Tang ni memang jelas Idris berbohong.

Seluruh negara tahu, setelah lima tahun berturut-turut menjadi negeri terbaik dalam keputusan UPSR, Terengganu gagal mempertahankan rekod cemerlang itu 2006 lalu. Terengganu jatuh ke tangga ketiga, katanya selepas Pulau Pinang dan Selangor.

Terengganu mula menjadi negeri terbaik UPSR pada 2001 (di bawah pemerintahan PAS). Kedudukan itu dikekalkan sehingga 2005. Masakan Idris sebagai MB tak tahu hal itu sehingga berani membohongi fakta?

Lebih sebulan lalu, Idris sekali lagi menghebohkan kononnya seramai 2,010 kanak-kanak prasekolah Terengganu telah khatam al-Quran secara serentak. Beliau mendakwa itu satu rekod Malaysia. Itu juga satu pembohongan, mengulangi pembohongan atas perkara sama yang telah dibuatnya tahun sudah.

Tahun lalu, Idris mendakwa kerajaan pimpinannya telah memahat sejarah apabila 937 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang belajar di Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) kononnya khatam al-Quran secara serentak.

The Malaysia Book of Records dijemput untuk mengiktiraf majlis itu sebagai majlis khatam beramai-ramai paling besar dalam negara. Malangnya, pengakuan beberapa pihak terlibat dengan majlis itu seperti guru-guru dan ibu bapa kanak-kanak terbabit mengesahkan bahawa sebahagian besar daripada 937 kanak-kanak itu masih belum khatam dalam ertikata sebenar.

Banyak lagi pembohongan yang pernah diucapkan Idris. Di awal pemerintahannya, Idris mengisytiharkan kononnya kerajaan pimpinannya mesra dan tidak balas dendam. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sejak hari pertama memerintah, kerajaan BN memecat dan menekan para pegawai yang condong kepada PAS. Tindakan itu berterusan hingga kini.

MB Terengganu turut mendakwa sepanjang pemerintahan PAS tidak ada walau satu pun masjid baru dibina. Semuanya adalah warisan pemerintahan BN sebelum itu. Itu juga suatu pembohongan yang jelas. Sedangkan belasan masjid baru telah mula dibina di seluruh negeri di bawah pemerintahan PAS dulu. Sebahagiannya siap di bawah kerajaan BN sekarang, seperti Masjid Bandar Marang, Penarik, Kampung Buloh dan Pengadang Baru.

Idris juga pernah mendakwa sejak BN memerintah banyak pelabur asing melabur semula ke Terengganu. Tetapi dalam jawaban di satu sidang DUN Terengganu tahun lalu, kerajaan akui sejak 2004 hingga 2006 (dua tahun pertama pemerintahan BN) tiada sebarang pelaburan asing masuk ke negeri itu. Dia telah berbohong.

Sejak PAS mula memerintah Terengganu, BN telah mempolitikkan isu balak. Kononnya telah berlaku salah guna kuasa (abuse of power) dan salah laku (wrong doings) dalam pengurusan hutan dan hasil pembalakan. Sebaik kembali berkuasa, Idris menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan itu dan sebuah kertas putih telah dihasilkan. Bagaimana pun, kertas putih itu telah mendedahkan bahawa segala tuduhan Idris dan para pemimpin BN terhadap kerajaan PAS itu hanyalah pembohongan semata-mata.

Janji Idris untuk mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan dalam lima tahun juga satu lagi pembohongan. Rakyat yang terpedaya dengan janjinya itu menjangkakan akan ramailah mereka yang bekerja di luar Terengganu akan balik bekerja di negeri sendiri. Sepatutnya setelah hampir empat tahun berlalu, jumlah rakyat menganggur di Terengganu sudah di tahap paling minima. Malangnya apa yang berlaku terlalu jauh dari impian itu.

MB Terengganu itu juga cuba membohongi fakta mengenai 'Kerajaan Langit'. Idris telah ‘mengkambing-hitamkan’ kerajaan PAS yang didakwanya tidak bertindak terhadap kumpulan ajaran sesat pimpinan Ariffin Mohamad di Besut. Idris mendakwa kebanyakan replika di markas ajaran itu dibina antara tahun 2002 hingga 2003 (semasa PAS).

Sedangkan di zaman pemerintahan PAS lah Ariffin diseret ke mahkamah atas dakwaan menghina Islam. Pada 27 Jun 2001, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman penjara selama 11 bulan serta denda RM2,900. Manakala para pengikutnya disyahadahkan semula melalui program pemulihan akidah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan lain-lain agensi kerajaan negeri.

Aktiviti di perkampungannya bagaimana pun bersemarak semula setelah BN memerintah. Menurut cerita penduduk setempat, semasa pilihan raya umum 2004, Ariffin dan pengikutnya telah bertungkus-lumus memenangkan BN. Bahkan, beliau dikatakan kenalan baik kepada Ahli Parlimen Besut sekarang. Jadi, di mana rasionalnya Idris mahu menyalahkan PAS dalam hal itu?

Berdasarkan sebilangan contoh disebutkan tadi, Idris nampaknya tidak memilih bab atau tempat untuk berbohong. Beliau boleh dikatakan bercakap bohong dalam segenap bidang dan kes. Dari satu sudut, perbuatannya itu merupakan satu rekod tersendiri bagi negeri Terengganu.

Oleh itu, andaikata ada satu anugerah untuk pemimpin politik dalam kategori tersebut di peringkat nasional, nama Dato' Seri Idris Jusoh memang wajar dicalonkan. Untuk itu, para pembaca sekalian, penulis mohon mencadangkan!

No comments: