Pengumuman

Monday, March 24, 2008

Hanya MB tiket untuk beri khidmat?


Untuk Dato' Seri Idris...

Apakah hanya jika ada title MB saja Dato' Seri mampu berikan khidmat untuk rakyat Terengganu? Tidak malukah Dato' Seri berhadapan dengan rakyat yang rata-ratanya melihat kerakusan Dato' Seri dalam mendapatkan pangkat sebagai MB meskipun Dato' Seri terpaksa melawan Sultan yang dikasihi rakyat Malaysia?

Tidak cukupkah sepenggal Dato' Seri jadi MB setelah begitu banyak harta yang Dato' Seri kumpul untuk hidup lebih dari 7 keturunan? Bukankah Dato' Seri tahu bahawa usaha melawan Sultan dalam mendapatkan jawatan MB itu hanya sia-sia? Tahukah Dato' Seri bahawa tindakan Sultan itu memang tepat mengikut kuasa yang ada padanya?

Mengapa Dato' Seri sanggup bermusuhan dengan orang Dato' Seri sendiri dan sanggup 'mati' hanya semata-mata nak dapatkan MB Dato' Seri itu? Bukankah kerja sebagai MB itu berat kerana menanggung amanah untuk sebuah negeri? Tidakkah sebagai ADUN itu sudah cukup baik untuk Dato' Seri menjalankan khidmat kepada masyarakat Dato' Seri yang telah bersusah-payah memangkah dan memberi kepercayaan kepada Dato' Seri? Mengikut sifir politik bodoh saya ni, mana ada orang yang sanggup kerja lebih sedangkan sebagai MB itu kerjanya tersangat lebih. Apakah ada sesuatu agenda tersembunyi yang Dato' Seri sembunyikan sehingga saya lihat Dato' Seri sanggup menggadaikan maruah sebagai seorang Melayu yang sepatutnya dihiasi dengan sifat pemalu, sanggup menderhaka kepada Sultan sedangkan Dato' Seri tahu yang orang Melayu pantang diusik rajanya? Apakah agenda itu begitu besar sehingga saya lihat Dato' Seri sanggup mati kerananya?

Cukuplah Dato' Seri... saya sebagai penyokong UMNO pun lama-lama meluat dengan sandiwara yang Dato' Seri dan rakan-rakan Dato' Seri mainkan. Cukuplah Masjid Kristal dan Pulau Wan Man yang telah Dato' Seri jadikan telaga emas untuk Dato' Seri dan kroni. Cukuplah Pulau Duyung yang Dato' Seri korbankan untuk kepentingan Si Patrick dan kroni Khalifah Hadhari yang maksumi itu. Cukuplah Dato' Seri menghiris hati rakyat Terengganu yang miskin dan melarat selama ini... Mereka semua telah memaafkan Dato' Seri sehingga memberi amanah sekali lagi kepada Dato' Seri untuk membela mereka. Janganlah kepercayaan yang mereka berikan dirobek-robek kembali kerana kerakusan nafsu Dato' Seri. Janganlah api yang hampir terpadam di dalam hati-hati kami ini dinyalakan kembali. Kami bimbang ianya akan membakar hangus impian Dato' Seri itu. Kembalilah kepada rakyat dan mulalah jalankan amanah...

Insan Terpinggir
24 Mac 2008

No comments: